As-salam kepada pembaca sekalian yang sentiasa dirahmati oleh Allah S.W.T. Entri saya pada kali ini berkisahkan tentang kelebihan susu ibu kepada bayi. Seperti yang diketahui susu ibu merupakan susu yang amat baik untuk pembesaran bayi yang baru lahir ke dunia ini. Hal ini kerana susu ibu mempunyai banyak kelebihan yang tersendiri dalam mengekalkan kesihatan yang baik kepada bayi. Jadi marilah kita sama-sama melihat apakah antara kelebihan-kelebihan susu ibu kepada bayi...:-
1. Kandungan protein yang tinggi.
Susu ibu mempunyai kandungan protein ‘whey’ iaitu sejenis protein yang mudah diserap oleh usus badan. Nisbahnya adalah 70(whey):30(kasein). Tidak seperti susu formula, nisbah protein ‘whey’ dan kasein adalah rendah. Protein yang mudah diserap, akan digunakan sepenuhnya di dalam pembesaran bayi.
2. Mempunyai antibodi dalam memerangi jangkitan.
Susu ibu juga mempunyai antibodi yang bertindak sebagai ‘pertahanan pertama’ di dalam badan. Apabila terdapat jangkitan, badan kita mempunyai 3 lapisan pertahanan dalam memerangi jangkitan tersebut. Bolehkah susu formula melakukannya? Sudah tentu tidak. Belum ada susu formula yang memberikan antibodi yang terbaik seperti yang dapat diberikan oleh susu ibu.
3. Mengurangkan jangkitan usus.
Terdapat banyak kajian yang menunjukkan bayi yang didedahkan dengan susu formula lebih awal berisiko untuk mendapat jangkitan usus seperti cirit-birit dan sebagainya. Susu ibu terbukti di dalam kajian mencegah jangkitan usus ini diperingkat bayi.
4. Menguatkan hubungan antara ibu dan bayi.
Di sini, kasih sayang antara ibu dan anak akan terbentuk akibat hormon yang dihasilkan di dalam badan. Bayi yang menggunakan susu formula, mungkin agak sukar untuk ibu membentuk ikatan bersama anaknya. Ia bagaikan satu bentuk semulajadi yang sangat kita perlukan dan tidak memerlukan teknologi untuk mencapainya.
5. Meningkatkan perkembangan mental kanak-kanak.
Terdapat kajian yang menunjukkan IQ kanak-kanak yang berumur 7 hingga 8 tahun yang mempunyai sejarah menyusu badan lebih dari 6 bulan adalah lebih tinggi daripada kanak-kanak yang menyusu kurang daripada 6 bulan. Semestinya kita mahukan yang terbaik untuk anak kita bukan? Lebih-lebih lagi ibu-bapa sekarang sangat mementingkan pendidikan untuk anak-anak mereka.
6. Kurang berisiko untuk mendapat alahan.
Ramai kanak-kanak di zaman moden ini mempunyai alahan seperti asma, alahan makanan, yang menyebabkan kulit gatal-gatal dan kemerah-merahan. Dengan penyusuan badan lebih daripada 12 minggu di dalam keluarga yang mempunyai sejarah alahan kadar berlakunya alahan terhadap bayi adalah lebih rendah daripada menggunakan susu formula.
Jadi kepada ibu-ibu sekalian sedarlah bahawa susu ibu mendatangkan banyak kepada tumbesaran bayi. Janganlah mudah memisahkan bayi dari penyusuan ibu pada peringkat awal usia bayi kerana mungkin bayi akan kekurangan tahap kesihatan yang sepatutnya diperolehi oleh mereka. Sekian. Wasalam...